Tue. Oct 4th, 2022

Ibu Kudung Ditinggalkan Berseorangan Di Tepi Jalan

SYURGA seorang anak itu terletak di telapak kaki ibunya malah, al-Quran mengingatkan supaya sentiasa berbuat baik kepada kedua ibu bapa.

Namun, tidak semua anak mampu menjaga kedua orang tuanya dan apa yang dilalui seorang wanita warga emas di Kuala Langat malam tadi adalah lebih daripada itu.

Yang biasa didengar anak menghantar ibu ke rumah orang tua tetapi kali ini wanita kudung itu yang berkerusi roda ditemui di tepi jalan berserta lampin pakai buang dan beg pakaian.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang menerima maklumat tersebut daripada orang ramai kemudian menggerakkan Skuad Saidina Umar (SSU) serta Ketua Operasi Agihan Daerah Kuala Langat menyantuni wanita tersebut.

Menurut LZS, hasil siasatan mendapati wanita itu merupakan asnaf fakir zakat di Selangor dan masih mempunyai keluarga.

Dalam satu hantaran di Facebook, LZS berkata, usaha menghubungi keluarga wanita itu berjaya dilakukan namun tidak mendapat kerjasama yang baik apabila tiada seorang waris yang sudi menjemputnya kembali ke rumah dengan pelbagai alasan.

“Oleh kerana keadaannya yang kudung sebelah kaki serta ingatan tidak berapa baik, kami terpaksa menyerahkannya untuk tindakan lanjut pihak polis di bawah bidang kuasa pihak berwajib.

“Pihak polis menggunakan bidang kuasa mereka dengan menghubungi anaknya serta akan menjalankan sesi rundingan mengikut kepakaran mereka. Anaknya bersetuju akan hadir ke balai polis untuk mengambil ibu ini kembali.

“Namun, sekitar jam 3 pagi, anaknya membuat keputusan tidak boleh menjaga ibunya lagi dan pihak polis terpaksa menghubungi pusat jagaan warga emas yang datang menaiki ambulans untuk membawa ibu ini ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan dan saringan COVID-19,” kata LZS.

Lebih menyentuh hati, kata LZS apabila dalam keadaan sebegitu pun, wanita tersebut sebagai ibu masih mendoakan yang terbaik untuk anaknya.

“Dah lama acik tak jumpa anak, anak acik baik orangnya”. Kami cuba menyembunyikan rasa sebak kami kepada beliau. Mungkin ada kisah keluarga yang hanya mereka sahaja mengetahuinya.

“Kami serahkan ibu ini mengikut prosedur dan kita tempatkannya di Pusat Jagaan Warga Emas dengan kebenaran anaknya dan semua kos akan ditanggung oleh pihak Zakat Selangor.

“Terima kasih kepada orang awam yang menyampaikan info kepada kami. Juga buat pihak Pusat Jagaan Warga Emas Baitul Mawaddah dan Pusat Jagaan warga Emas SRA serta pihak Balai Polis Sri Muda yang bekerjasama dari malam hingga ke awal pagi dalam menguruskan kes ini,” jelas LZS.

Tambah LZS, marilah sama-sama mendoakan semoga usaha ini mendapat keberkatan dari Allah dan ibu ini dapat dijaga dengan penuh kasih sayang.

“Kisah ini mengingatkan kami kepada firman Allah Surah Al-Isra’ : 23-24,” ujar kenyataan itu.

error: Haipp!!!