Thu. Sep 29th, 2022

Seleweng Cukai Jalan RM3.1 Juta, 7 Petugas Kaunter JPJ Johor Direman

SELEPAS ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, Mahkamah membenarkan tujuh petugas kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 28 Februari ini.

Ia bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan urusan cukai jalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) membabitkan lebih 1,000 jenis kenderaan bermotor dengan nilai mencecah RM3.1 juta.

Majistret Nurmadiana Mamat memerintahkan reman terhadap semua suspek yang berusia 27 hingga 42 tahun itu selepas ia dimohon SPRM Johor dan kesemua suspek ditahan reman mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Mereka yang ditahan itu membabitkan lima kakitangan lelaki dan dua wanita.

Semalam, SPRM Johor dilaporkan menahan tujuh petugas JPJ Johor bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan urusan cukai jalan LKM yang dipercayai hasil perbuatan salah guna kuasa oleh kakitangan berkenaan dengan menceroboh sistem JPJ.

Kesemua kakitangan berkenaan dilaporkan ditahan antara jam 11 pagi hingga jam 1 tengah hari semalam, dan dipercayai bertugas di JPJ Johor Bahru di Taman Daya, di sini.

Menurut sumber BH Online, mereka dipercayai memanipulasi sistem MySIKAP bagi urusan cukai jalan LKM yang mana jumlah ketirisan kutipan cukai jalan JPJ Johor mencecah RM3.1 juta dalam tempoh enam bulan iaitu bermula Julai hingga Disember 2019.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki yang berada di Johor Bahru semalam bagi menghadiri mesyuarat bersama SPRM Johor dilaporkan mengesahkan tangkapan.

“Siasatan ini bermula hasil makluman dan kerjasama yang baik oleh Bahagian Integriti dan Pejabat Ketua Pengarah JPJ.

“SPRM akan meneruskan kerjasama dengan JPJ supaya langkah pematuhan dan penambahbaikan proses kerja dapat dilakukan bagi mengelak kegiatan rasuah ini berulang khususnya ia menyebabkan ketirisan hasil kerajaan.

“Perkara ini dibincangkan dengan Ketua Pengarah JPJ sebelum ini dan perkongsian maklumat seumpama ini dapat meningkatkan integriti dan tadbir urus jabatan, sekali gus menutup ruang serta peluang rasuah,” katanya semalam.

error: Haipp!!!