Tue. Dec 6th, 2022

[VIDEO] Kiai Meninggal Dunia Di Atas Pentas Ketika Baca al-Quran

‘’..Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amat berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)…’

Itulah penghujung ayat 7 surah Al-Hasyr yang sempat dibaca oleh seorang kiai sebelum dia rebah dan meninggal dunia di sebuah kampung di Bandung Barat, Jawa Barat, Sabtu lalu.

Klip video kembalinya Kiai Jajang Busyrol Karim ke rahmatullah telah dimuatnaik melalui akaun Instagram @generasi_muda_nu_official sebelum menjadi tular sehingga menarik ribuan orang untuk menontonnya.

“Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Roji’un. Qari KH Jajang bin KH Busyrol Karim Cihamerang, Cijenuk, Cililin, Kabupaten Bandung Barat, Jawa Barat. Beliau wafat saat tampil membaca Al Qur’an kemarin Sabtu 13 Februari Jam 09.00 pada acara Walimatunnikah. Semoga beliau disambut kemeriahan Malaikat Allah di sisi-Nya. Amin. Al Fatihah,” tulis keterangan pada klip video tersebut.

Menurut portal Suara.com ketika kejadian Kiai Jajang duduk di atas pentas bagi membaca ayat berkenaan sebelum suaranya semakin perlahan dan kemudiannya jatuh ke ke lantai.

Melihat keadaan Kiai Jajang, suasana menjadi ruih manakala perakam video meluru ke arah Allahyarham untuk membantunya.

Penularan video mendapat respons daripada netizen yang mendoakan Allahyarham dicucuri rahmat dan meninggal dunia dalam keadaan husnul khotimah.

“Innalilahi wa innailaihi rojingun, insya allah husnul khotimah,” kata akun @desn. “Indah banget (sangat) wafatnya pas (ketika) membaca firman Allah, surga insyaallah tempatnya amiin,” ujar akun @ar37.

Innalilahi wa innailaihi rojiun mugi Husnul khatimah al Fatihah,” tutur akun @r234.

“Innalillahi wa innailaihi rojiun, semoga beliau mendapat tempat terindah di sisi-Nya Aamiin ya rabbal alamin. Al-fatihah,” tulis akun @r043.

“Kepulangan yang sangat indah… Innalilahi wa Inna ilaihi Raji’un….,” imbuh akun @iv***iac.

Allahyarham Jaafar Abdul Rahman

Peristiwa itu mengingatkan netizen kejadian yang sama menimpa seorang ustaz pada pertengah tahun 2017 di sebuah majlis tahlil.

Ketika kejadian Jaafar Abdul Rahman dikatakan baru membaca ayat 3 surah Al-Mulk, sebelum Allahyarham rebah dan meninggal dunia.

Antara maksudnya ayat-ayat yang semoat dibaca oleh Allahyarham sebelum rebah bermula ayat 1 ialah;

‘’Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat) dan memanglah Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

’Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)

’Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis…’’

Bagaimanapun Allahyarham tidak sempat menghabiskan ayat 3 sebaliknya dijemput Allah dalam keadaan yang cukup dicemburui.

Semoga roh mereka berdua ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh – Al-Fatihah.

error: Haipp!!!