Fri. Sep 30th, 2022

Pemandu Myvi Langgar Van Di Bandar Kinrara Di Tahan Polis

KUALA LUMPUR: Polis telah menahan seorang lelaki yang disyaki memandu kereta Perodua Myvi secara melulu dan laju sekaligus merempuh dua kenderaan di Jalan Bandar Kinrara 6F, Bandar Kinrara, berdekatan Serdang petang tadi.

Kejadian itu berlaku pada jam 2 petang, pemandu kereta Myvi berusia 26 tahun itu telah merempuh sebuah van dan sebuah kereta Proton Waja sehingga mengakibatkan pemandu van berkenaan cedera parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, pemandu Myvi itu dituduh cuba melarikan diri tetapi ditahan oleh orang awam dan kemudian diserahkan kepada pihak polis.

“Pemandu Myvi itu dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan (BSJT) untuk tindakan selanjutnya. Hasil daripada ujian saringan air kencing mendapati pemandu Myvi tersebut negatif dadah.

“Pihak polis akan menjalankan ujian alkohol terhadap lelaki itu yang didapati tiada sebarang rekod jenayah lampau. Kita akan mohon menahan terhadap suspek mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Rakaman video kemalangan yang tular di media sosial itu menunjukkan kereta Myvi terbabit dilihat dipandu laju dan turut hampir melanggar seorang penunggang motosikal yang berdekatan.

 

Sementara itu Azman Shari’at berkata, pemandu van yang parah kini ditempatkan di zon merah Hospital Serdang untuk rawatan selanjutnya.

“Setakat ini, maklumat pemandu van yang menjadi mangsa itu masih belum diperoleh daripada pihak hospital dan tindakan lanjut masih dijalankan,” katanya.

error: Haipp!!!