Tue. Oct 4th, 2022

Penjual Kuih Berdepan Denda Atau Penjara Kerana Hina PDRM Di FB Live

Nak buat komen Facebook Live memang boleh. Berilah apa sahaja komen cuma kena ingat saja, Malaysia ada undang-undang mengawal kebebasan bersuara.

Kalau tidak dikenakan saman sivil, boleh juga dikenakan pertuduhan jenayah. Dua-duanya tak berbaloi kalau dah kena.

Inilah yang terjadi kepada seorang penjual kuih yang tular videonya di media sosial kerana menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Hari ini dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kajang atas pertuduhan membuat video secara langsung di akaun Facebook miliknya bertujuan memalukan pasukan keselamatan itu tahun lalu.

Bagaimanapun, Ahmad Tuah Abdullah, 38, mengaku tidak bersalah hina PDRM selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.

Memetik laporan dari Bernama, lelaki itu didakwa secara sedar menggunakan aplikasi Facebook atas nama akaun ‘Tuah Ahmad Tuah’ dan memulakan video secara langsung yang buruk sifatnya untuk memalukan nama PDRM dan nama ketua anggota PDRM, dengan niat menyakitkan hati orang lain dan pasukan keselamatan itu.

Ahmad Tuah yang didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran, pada 2.44 petang, 31 Ogos tahun lepas, dituduh mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama.

Jika disabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Ahmad Tuah yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan rendah kerana bekerja sebagai penjual kuih hanya memperoleh pendapatan rendah lebih-lebih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini.

“Saya tidak berniat untuk menjatuhkan martabat PDRM dalam video itu. Saya mohon mahkamah kurangkan jaminan kerana saya tidak berkemampuan,” katanya dalam nada sebak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mac ini untuk sebutan semula kes hina PDRM itu bagi serahan dokumen.

error: Haipp!!!