Tue. Oct 4th, 2022

Ibu Bapa Meninggal Dunia Covid-19, Jaga Anak Yatim Tanggungjawab Siapa?

Situasi dunia yang masih dilanda musibah besar ini, iaitu pandemik Covid-19 yang menimbulkan pelbagai kesusahan dan keresahan bagi manusia, terutamanya umat Islam di mana banyak urusan agama mereka sedikit tergugat.

Covid-19 tidak mengenal mangsa sama ada lelaki, perempuan, tua muda, miskin atau kaya. Semua mungkin terhinggap oleh wabak ini.

Pada hari ini, kita mendengar berita ada di kalangan mereka yang kehilangan ibu, atau ayah bahkan ada yang kehilangan kedua-dua orang tua ketika mereka masih kecil atau bawah umur. Ada yang adik-beradik semuanya masih di bawah umur sehingga memerlukan penjaga.

Ada dalam kalangan mereka yang tidak memiliki harta lebih-lebih lagi apabila ibu bapa yang menjadi korban Covid-19 adalah golongan yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Sudah tentu ini situasi yang memilukan kita umat Islam di negara yang kita cintai ini.

Untuk menjawab persoalan ini, ulama fikah Islam sebenarnya telah menyatakan di dalam kitab-kitab fikah secara lengkap hierarki hak jagaan anak bawah umur ketika kematian ibu bapa.

PANDEMIK Covid-19 turut mengorbankan ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih kecil.

Seperti lazimnya istilah ini dalam ilmu fikah disebut hak hadhanah (hak jagaan). Ia tidak hanya berlaku kepada pasangan yang bercerai akan tetapi juga ketika kematian berlaku.

Apabila kematian ibu bapa anak tersebut berlaku, maka hak jagaan anak tersebut berpindah kepada:

  1. Nenek sebelah ibu hingga ke atas. Jika ada halangan, maka ia berpindah kepada
  2.  Nenek sebelah bapa hingga ke atas;
  3. Kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
  4. Kakak atau adik perempuan sebapa;
  5. Anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
  6. Anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan seibu;
  7. Anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan sebapa;
  8. Emak saudara sebelah ibu;
  9.  Emak saudara sebelah bapa; dan terakhir
  10. Waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai asabah.

Selain itu, beberapa enakmen negeri juga memberi hak kepada Mahkamah Syariah membuat perintah interim bagi menempatkan kanak-kanak itu dalam penjagaan mana-mana orang atau institusi atau persatuan.

Perintah itu hendaklah serta-merta dikuatkuasakan dan terus dikuatkuasakan sehingga mahkamah membuat perintah bagi penjagaan itu, seperti Seksyen 87 (5) Enakmen 2 Tahun 2003 Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor).

SYARAT PENJAGA

Syarat utama bagi yang akan menjadi penjaga bagi kanak-kanak muslim ini adalah:
1. Penjaga mesti beragama Islam,
2. Mesti sempurna akalnya,
3. Dia berumur yang melayakkan dia memberi kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu,
4. Berakhlak mulia yang Islami, dan
5. Tinggal di tempat yang tidak mungkin kanak-kanak itu menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.

Dari segi pembiayaan kanak-kanak yatim piatu, jika kanak-kanak itu memiliki harta, maka hartanya untuk pembiayaannya. Haram bagi penjaga makan harta anak yatim piatu.

Ini seperti firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala. (al-Nisa’: 10).

Maka ini jelas adalah peringatan kepada yang diberi amanah menjaga anak yatim piatu agar tidak makan harta anak yatim piatu dengan zalim. Mungkin dapat digambarkan seperti cerita Bawang Putih Bawang Merah atau Cinderella.

Bagi kanak-kanak yang tidak ditinggalkan harta, maka nafkahnya diserahkan kepada ahli kerabat keluarga yang berkemampuan.

Imam al-Nawawi (w. 676H) menjelaskan, tidak wajib ahli kerabat memberi nafkah kecuali bagi yang betul-betul mampu untuk memberi nafkah.

Beliau juga menjelaskan yang dimaksudkan betul-betul mampu untuk memberi nafkah adalah dengan gambaran penghasilannya terdapat lebihan daripada keperluan dirinya dan keluarganya yang menjadi tanggungannya. (Rawdah al-Thalibin: 9/83-85).

Tentunya bagi perkara ini, permesyuaratan keluarga besar diperlukan. Ini agar tidak ada anak yang tercicir hak jagaannya. Sebabnya semua kanak-kanak memiliki hak untuk dijaga dan dibesarkan dengan kasih sayang seperti kanak-kanak yang memiliki ibu dan bapa.

Seumpama kanak-kanak tersebut tidak memiliki harta, keluarga kerabatnya juga tiada yang mampu memberi nafkah untuk anak tersebut, maka ia menjadi kewajipan kerajaan untuk mengambil nafkah daripada Baitulmal. (al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah: 41/99).

Baitulmal bermaksud sama ada ia diambil daripada bajet kerajaan atau daripada lembaga yang mengumpulkan harta wakaf dan lain-lain seperti lembaga Baitulmal yang dimiliki oleh Majlis Agama Islam Negeri.

Harta ini juga mungkin termasuk diambil dari harta zakat. Dalam situasi seperti ini kanak-kanak tersebut menerima harta zakat sebagai orang yang fakir dan miskin bukan sebagai yatim piatu.

Ini kerana asnaf zakat diperuntukkan kepada yang fakir dan miskin selain dari kategori-kategori lain seperti ibn sabil dan lain-lain.

Perlu diketahui, yatim piatu bukan asnaf yang berhak menerima zakat. Ini kerana ada dalam kalangan yatim piatu yang kaya mendapatkan harta waris sehingga memiliki penghasilan yang melebihi kecukupan hidup.

Oleh sebab itu, Islam menegaskan kepentingan kerajaan sesebuah negara memiliki fasiliti atau badan autoriti mengurus harta-harta umat Islam. Ia agar dapat membantu kanak-kanak yatim piatu agar tiada dalam kalangan mereka yang tercicir sama ada secara hidup mahupun tarbiah.

Semoga Covid-19 segera ditarik oleh Allah SWT daripada bumi ini. Aamiin ya Rabbal Alamiin!

  • Dr. Ayman al-Akiti, Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama, UIAM & Felow Kehormat IKIM.
error: Haipp!!!