Wed. Oct 5th, 2022

Penunggang Siku Pembonceng Wanita Disiasat! Dua Kertas Siasatan Dibuka

SEBUAH video tular yang memaparkan seorang wanita disiku seorang lelaki ketika berada di atas motosikal semasa melalui Jambatan Teluk Gadong, Jalan Sungai Bertih Klang di Selangor baru-baru ini, mendapat perhatian pihak berkuasa.

Susulan itu, pihak polis membuka dua kertas siasatan bagi menyiasat kes tersebut.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, rakaman video dari ‘dashcam’ sebuah kereta berdurasi 11 saat itu dikesan pihaknya di laman sosial Facebook pada Rabu.

Menurutnya, rakaman video tersebut memaparkan seorang lelaki iaitu penunggang motosikal menyiku menggunakan tangan kiri sebanyak dua kali di bahagian kepala pembonceng motosikal yang dipercayai adalah wanita.

“Susulan itu, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendatangkan kecederaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan perkhidmatan rangkaian.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti identiti penunggang dan pembonceng motosikal terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta untuk hadir ke balai polis berdekatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222.

Katanya, pihak polis juga menasihatkan kepada orang awam sentiasa berhati-hati semasa memandu atau menunggang kenderaan agar tidak membahayakan diri sendiri dan orang lain.

error: Haipp!!!