Thu. Sep 29th, 2022

Operasi Pencarian Dua Pendaki Terpaksa Ditangguhkan Ekoran Cuaca Buruk

MISI pencarian dua pendaki yang dibawa arus deras kepala air di Hutan Simpan Gunung Suku, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat sini, terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan cuaca buruk dan hujan lebat.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, keadaan itu bukan sahaja menyukarkan anggota penyelamat yang terlibat mencari mangsa malah dikhuatiri fenomena kepala air berulang sekali lagi.

Katanya, tanah dan laluan trek yang licin ekoran hujan lebat sejak tengah hari itu juga berbahaya kepada anggota penyelamat.

“Selain laluan trek yang licin, kita juga bimbang berlaku lagi kejadian kepala air. Sebab itu, jika boleh kita cuba elakkan anggota penyelamat menggunakan laluan melibatkan air.

“Jadi, dalam operasi ini, mereka akan naik dan turun ke kawasan pencarian menggunakan trek pendakian sedia ada dan juga trek baharu yang dibuat oleh pasukan penyelamat,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Pos Atap Baru di sini hari ini.

Menurutnya, setakat ini, belum ada petunjuk baharu ditemui selepas penemuan dua bahagian badan manusia di lokasi berasingan dipercayai pendaki terbabit.

Katanya, operasi pencarian pada hari kedua hari ini dilakukan di dua lokasi yang telah dikenal pasti di laluan air termasuk kawasan kira-kira 500 meter dari jalan besar.

“Selain menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) bagi mencari mangsa, kita juga melihat kepada petunjuk lain seperti hurungan lalat dan bau busuk. Berdasarkan itu, kita akan memberi fokus kepada kawasan berkenaan,” katanya.

Semalam, pasukan penyelamat yang melakukan operasi pencarian telah menemukan anggota tubuh manusia dipercayai milik pendaki yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan kepala air di Hutan Simpan Gunung Siku.

Kaki bahagian kiri itu dijumpai anggota STORM sekitar pukul 5.05 petang pada jarak 300 meter dari lokasi terakhir mangsa dihanyutkan arus deras kepala air.

Operasi yang disambung hari ini pula berjaya menemukan separuh badan bahagian atas dari pusat yang dijumpai dalam timbunan tanah pada pukul 10.20 pagi.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, dua pendaki wanita dikhuatiri hilang selepas dihanyutkan kepala air ketika melakukan aktiviti pendakian bersama 27 individu lain di Hutan Simpan Kekal Gunung Suku.

Mangsa dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46.

error: Haipp!!!