Tue. Oct 4th, 2022

Penduduk Taman Ketakutan Diugut Minta Langsai Hutang Anak Jiran, Tiba-Tiba Kena Jadi Penjamin Ah Long

KEWUJUDAN skim pinjaman kewangan peribadi secara atas talian mendorong orang ramai untuk memperoleh kredit dengan mudah.

Tanpa bersua muka mahupun menandatangani dokumen tebal bagi mendapatkan sejumlah wang yang diingini, sebaliknya peminjam hanya perlu memuat turun aplikasi menerusi pautan yang diberikan syarikat kewangan berkenaan.

Sistem yang ringkas dan pantas itu menyebabkan ramai pelayar media sosial terjebak tambahan pula ia diperkenalkan semasa masyarakat berhadapan krisis kesihatan yang mengakibatkan sektor ekonomi terjejas termasuk kehilangan punca pendapatan.

@cubbykeding Part 3 . Ya allah 😭 rupanya abah dah tahu dulu dripada kitaorg . Ni pun jiran bgithu smpai abah left gp sebab malu 😭💔 . #fyp #whatsapp #dugaan #kesian ♬ Ya Allah – Wali

Menerusi video berdurasi 40 saat yang tular di media sosial baru-baru ini, ibu bapa salah seorang peminjam hampir diusir keluar daripada kawasan penempatan mereka kerana penduduk setempat turut diganggu syarikat kewangan atau Ah Long.

Lebih mengejutkan apabila mereka dimaklumkan menjadi penjamin kepada peminjam tersebut yang merupakan anak kepada salah seorang penduduk.

Kes berkenaan didedahkan pegawai perunding Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang dikenali sebagai Imran selepas video perkongsiannya tular di media sosial.

Menurutnya, kejadian tersebut berpunca daripada tindakan seorang peminjam yang membuat permohonan kewangan selepas melihat iklan di Facebook.

“Apabila sampai tarikh matang bayaran pinjaman, individu tersebut tidak dapat melunaskannya. Jadi pihak peminjam mewujudkan kumpulan WhatsApp antara peminjam dan ahli keluarganya bagi memaklumkan tentang hutang.

“Bagaimanapun peminjam tidak mengakuinya pada peringkat awal kerana menyangkakan dapat mencari duit untuk menyelesaikan masalah kewangannya.

“Disebabkan tiada tindakan lanjut daripada ahli keluarga, pihak pemiutang tadi mula mengganggu ibu bapa dan saudara mara peminjam yang lain termasuk penduduk di kawasan perumahannya.

“Akibat ketakutan kerana sering diganggu Ah Long, majoriti penduduk di kawasan perumahannya meminta ibu bapa peminjam keluar dari kediaman mereka,” jelas Imran.

Bagaimanapun jelas Imran, pihak syarikat pemberi pinjaman berupaya menjejaki saudara mara serta jiran peminjam menerusi kaedah tertentu selepas mendaftar menerusi aplikasi yang disediakan mereka.

Ujarnya, setiap individu yang dihubungi pula akan dimaklumkan bahawa peminjam tersebut meletakkan nombor telefon mereka sebagai penjamin.

“Jadi penduduk dan saudara mara mula marah kerana menyangkakan peminjam sengaja meletakkan nombor telefon mereka sehingga kerap dikacau dan diugut,” katanya sambil menambah kes tersebut berjaya diselesaikan selepas mendapat kerjasama peminjam.

Berkata lanjut, Imran memaklumkan bahawa kes berkenaan didedahkan supaya dapat menjadi pengajaran kepada orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya membuat pinjaman kewangan daripada institusi yang tidak dikenal pasti walaupun ia tular di media sosial.

“Kita merekodkan ribuan kes berkaitan pinjaman kewangan menggunakan aplikasi yang perlu dimuat turun pengguna ke telefon bimbit mereka.

“Kebanyakan kes berlaku sepanjang tempoh penularan pandemik sejak 2020 sehingga kini. Berdasarkan aduan yang kita terima, peminjam tidak menyangka bahawa data-data mereka yang tersimpan di dalam telefon pintar diakses oleh pihak ketiga iaitu syarikat kewangan terlibat.

Akibat ketakutan kerana sering diganggu Ah Long, penduduk di kawasan perumahannya meminta ibu bapa peminjam keluar dari kediaman.
IMRAN
“Apabila mereka memuat turun aplikasi yang diminta bagi mengisi butiran diri, pihak pemberi pinjaman akan memainkan peranan dengan mengakses segala data yang ada di dalam telefon termasuk gambar dan video,” jelasnya sambil menyatakan video yang dikongsikan itu adalah lakonan semula berdasarkan situasi sebenar.

Katanya lagi, pinjaman yang ditawarkan pula tidak melebihi RM2,000 namun sekiranya bayaran tidak dibuat dalam tempoh yang ditetapkan, peminjam berkemungkinan terpaksa membayar sehingga lebih RM45,000.

Terdahulu, video perkongsian yang dimuat naik ke dalam aplikasi TikTok telah ditonton lebih 385,000 pelayar.

Beberapa pelayar turut berkongsikan pengalaman masing-masing dan menyatakan pernah berhadapan dengan situasi yang sama.

“Saya pernah kena sebab Ah Long tu ambil semua nombor kenalan dalam telefon peminjam, bukan peminjam yang bagi. Kita kena berani sikit dengan mereka.

“Adik ipar kawan saya pun kena macam ni. Biasa mereka pinjam guna apps jadi bayar guna aplikasi juga.

“Kak… saya pernah jadi macam ni, Ah Long tu dapat trace daripada telefon peminjam, bukan sebab bagi nama. Dia sebarkan gambar tu supaya peminjam bayar hutang.

“Rasanya Ah Long tu ambil daripada nombor kenalan dalam telefon peminjam sebab suami pun dapat ugutan. Cari peminjam, dia beritahu dah bayar cuma Ah Long minta melampau,” kongsi beberapa netizen.

error: Haipp!!!