Mon. Nov 28th, 2022

Dr Zulkifli Menitiskan Air Mata, Sampaikan Khutbah Nikah Anak Sendiri

TIDAK hanya seorang ibu, hati bapa turut terusik saat melepaskan anak yang tersayang melayari bahtera perkahwinan. Walaupun sebelum ini biasa menjalankan tugas menyampaikan khutbah pernikahan, namun apabila tiba giliran anak sendiri, rasa sebak mengepung dada hinggakan air mata menitis.

Perkongsian bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Sri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri semasa menyampaikan khutbah pernikahan anaknya, Mohammad Hasanain selepas selesai ijab kabul.baru-baru ini menyentuh hati netizen.

“SELALUNYA KHUTBAH NIKAH LANCAR SAHAJA, TETAPI KERANA ANAK SAYA SENDIRI HARI INI, SAYA TIDAK MAMPU…,” TUTURNYA DALAM SEBAK MENERUSI VIDEO BERDURASI LIMA MINIT 45 SAAT.

Antara titipan beliau ialah memahami pernikahan sebagai sunah Rasulullah SAW yang dilakukan semata-mata untuk mencari keredaan ALLAH SWT, menjaga pergaulan yang baik antara suami dan isteri dan menyelesaikan masalah yang mendatang dengan toleransi, bukan mengikut hawa nafsu.

“Hendaklah banyak qiyam dan mohon istighfar kepada ALLAH. Jangan lupa wahai anakku sembahyang malam dan sentiasa menyuruh keluarga untuk solat fardu.

“Perkara terakhir yang hendak saya sampaikan ialah jangan lupa berbakti kepada ibu bapa dan kepada orang-orang tua, menyambung silaturahim. Begitu juga nafkah, wajib ditunaikan kepada isteri, ” katanya yang turut berpesan agar mengamalkan doa daripada ayat 74, surah al-Furqan.

Dalam pada itu, menerusi hantaran di Facebook, Dr Zulkifli menitip beberapa pesanan buat anak dan menantu.

“ALHAMDULILLAH SELESAI MAJLIS AKAD NIKAH ANAKANDA MOHAMMAD HASANAIN DAN PILIHAN HATINYA, NURUL AZZLINA NABILAH BINTI ABDUL AZIZ. ANAKKU, SETIAP PASANGAN YANG BERKAHWIN BERTEKAD UNTUK MENDAPAT KEBAHAGIAAN. TETAPI HAKIKAT TIDAK RAMAI YANG DAPAT MENGECAPINYA.

“Ramai yang ingin menawan hati pasangan tetapi lupa yang hati itu hakikatnya dimiliki pemilik segala hati dan cinta iaitu ALLAH SWT. Sepanjang pengamatan abah, ada beberapa ramuan penting untuk pedoman anakanda.
1. Kejujuran dalam melayari bahtera kehidupan.
2. Setiap pasangan bertangunggjawab dengan peranan masing-masing.
3. Zahirkan pengorbanan.
4. Sentiasa mengutamakan solat berjemaah dan solat malam.
5. Mengambil iktibar daripada pasangan lain. Bbaik dijadikan teladan dan yang tidak baik dijadikan sempadan.
6. Perbanyakkan doa.

“Dalam bahagia ada ujian. Itulah sunatullah yang mematangkan dan menguatkan ikatan kasih. Selamat melayari alam rumahtangga,” coretnya.

Netizen yang turut tersentuh dengan perkongsian tersebut meluahkan rasa sebak.

“ PERTAMA KALINYA SAYA MENDENGAR KHUTBAH NIKAH YANG BETUL-BETUL LAHIR DARIPADA HATI SEORANG ABAH UNTUK ANAKNYA. SUSUNAN KATA YANG CUKUP MENYENTUH SANUBARI.”

-” Sepanjang hidup berumahtangga selama 12 tahun dengan suami, mendengar khutbah ustaz ini membuat saya menangis. Setiap ayat ustaz saya hayati, moga ia menjadi panduan buat saya juga.”

-“ Lima minit yang cukup bermakna, ia mungkin terpahat pada hati anak buat masa yang lama.”

-“ Saya turut sebak mendengarnya. Nasihat yang cukup baik, lembut tutur kata, cukup menyentuh hati. Tahniah Datuk, semoga anakanda bahagia hingga ke syurga. Dengar nasihat Datuk, membuatkan saya teringat kepada arwah ayah saya.”

-“ Betapa sayangnya orang tua kita kepada anak pada saat melepaskan mereka ke bahtera hidup masing masing. Sebak dan terharu namun dalam masa sama sentiasa mendoakan yang terbaik untuk mereka.”

-“ Air mata jatuh tanpa sedar. Hati tulus dalam menyayangi anak, kasih kepada mereka. Moga anak juga mengasihi kita. Suatu masa nanti mereka juga akan menjadi ibu bapa dan melaluinya.”

Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri terdahulu merupakan Mufti Wilayah Persekutuan dan kini bertugas sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Perkahwinan beliau dan isteri, Datin Dr Shereen Mohd Yunos dikurniakan lima cahaya mata iaitu Mohammad Hasanain, 24, Hammad, 22, Sofia, 20, Abdul Syakur, 17 dan Istisyhad, 10.

error: Haipp!!!